SELAMAT DATANG

Segalanya tentang sains UPSR dan hal-hal berkaitan dengannya

Motivasi guru

Guru itu pendamping murid sedia cemerlang. Bukan murid yang sederhana dan lembam. Tidak ramai guru di Malaysia yang ada usaha dan inisiatif untuk membawa murid yang sederhana dan lembam ke arah cemerlang.

Pengalaman adalah guru terbaik dalam hidup saya. Sebaik mengenal apa itu sekolah (tidak melibatkan tadika), saya mula belajar sayang guru. Guru itu sangat baik. Tekun mengajar. Lembut melayan. Pandai memikat. Namun kesihatan mengganggu prestasinya sebagai guru. Sehingga dia tiba-tiba hilang dari kami.

Ada ketika, saya cemerlang dalam pelajaran. Maka, saya menjadi kesayangan guru secara tiba-tiba. Dihambur pujian, diangkat tinggi dan diberi sepenuh perhatian. Dan, ada ketika pelajaran saya merosot. Maka, saya ditolak tepi secara drastik. Terhindar, tersisih dan kelam.

Saya keliru. Perasaan bercelaru. Walau masih di peringkat umur pucuk muda mentah namun saya sedih. Saya bukan kanak-kanak dari kalangan yang tidak ambil kisah. Saya adalah kanak-kanak yang mahu diberi perhatian. Semakin lama semakin jauh dari jangkauan guru. Jauh dan jauh hingga saya tidak nampak di mata mereka.

Saya tidak seperti murid-murid itu yang sentiasa mengerumuni guru kesayangan. Dan jelas murid-murid itu adalah murid-murid cemerlang. Tidak ada satu pun murid yang sederhana dan lembam dapat saya lihat begitu rapat dengan guru. Dan mereka di dalam kelas diajar bagai endah tak endah. Sambil lalu.

Saya tidak mahu pupuk diri saya agar menyayangi guru. Bermacam perkara telah saya saksi yang menjadikan alasan kenapa saya tidak mahu mengajar diri saya untuk menyayangi guru.

Kenapa murid lembam itu ditampar dan dihentak ke papan hitam hanya kerana dia susah untuk memahami apa yang cuba diajar guru? Setiapkali dia mengajar, murid lembam itu pasti menjadi mangsanya. Tapi saya kagum dengan murid itu kerana walau dilayan sebegitu buruk rupa namun tiba Hari Guru, dia tidak lupa untuk menghadiahkan guru itu sebuah hadiah istimewa. Tidakkah guru itu terdetik rasa sesuatu dalam hati?

Selepas menjadi saksi peristiwa itu, jiwa yang tersedia memberontak melancar mogok. Betul. Sejak itu saya agak keras hati untuk menyayangi guru. Oleh sebab itu juga, guru menghindar diri dari saya. Dan itulah punca kemerosotan saya dalam pelajaran. Namun, tidak ada seorang guru pun yang berniat untuk bertanya punca kemerosotan saya. Saya tak peduli. Saya biarkan.

Saya tidak membuat persiapan. Saya tidak menumpukan perhatian di sekolah. Tidak ada tuisyen. Tidak ada kelas tambahan. Saya hanya belajar sendiri di rumah. Itu pun nak tak nak. Sudahnya, saya tidur. Dan keputusan UPSR saya sangat mengejutkan. Saya tersenyum. Alhamdulillah. Walau tidak penuh A namun benar-benar mengejutkan kerana saya tidak dibimbing sebaiknya oleh guru. Malah, tidak mendapat kata-kata perangsang sebelum masuk ke dewan seperti mana kawan saya terima. Oh, ya! Kebetulan, kawan saya itu adalah murid cemerlang. Tidak mustahil untuk dia mendapat motivasi istimewa seperti itu.

Bagi saya, tidak ada penggalak yang paling istimewa melainkan Mak dan Ayah. Mereka punca saya mendapat 'A' walau saya ini hanyalah seperti melukut di tepi gantang di sekolah sendiri.

Cemerlang UPSR bukan penentu kejayaan seseorang. Ia tidak lebih hanya sebagai tiket untuk ibubapa mencanang satu kampung betapa hebatnya anak mereka dan tiket untuk guru mencanang kepada semua bahawa dialah guru paling hebat di alam semesta. Dan ibubapa kepada anak-anak yang sederhana atau mungkin lembam, usah kecewa dan sedih dengan mereka kerana suatu hari nanti, anak-anak itulah yang akan membantu kamu di hari tua.